peduli ummat

Friday, April 23, 2010

Pinanganmu Diterima..Kemudian? (siri 2)


Salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman.
Semoga kita sentiasa berada dalam kemanisan iman dan amal.


Kembali kita kepada perbincangan tentang persediaan-persediaan melangkah ke alam baru yang dibincangkan oleh Pak Cah dalam bukunya, "Di Jalan Dakwah Aku Menikah".


Mungkin ramai pembaca budiman tertanya-tanya mengapakah tajuk entri kali ini menjadi pilihan penulis. Alhamdulillah pengalaman menyambut rombongan merisik adik penulis menjadi pencetus idea yang kuat dan kebetulan pula penulis memang sedang membaca buku tersebut. Harapan penulis kepada adik tersayang yang jauh di pandangan mata supaya dapat merasakan bahawa penulis sangat perihatin kepada kehidupannya..
hm tentunya untuk diri sendiri juga.

Terdapat banyak lagi tajuk yang dikupas oleh Pak Cah yang boleh dimanfaatkan kita semua. Semoga perkongsian yang sedikit ini kita amalkan. Bila mahu mula persiapannya? Sekarang pun boleh Insyaallah.


Sambung kembali.......


# PERSIAPAN 3: PERSIAPAN FIZIKAL #
Persiapan fizikal ini melibatkan kesihatan dan kemampuan dalam hubungan suami isteri secara wajar. Maka antara perkara yang dituntut untuk memastikan kita siap dari sudut fizikal adalah memastikan kesihatan sistem reproduksi kita, atau bahasa mudahnya adalah memastikan kita tidak mandul. Maka perlunya kita melakukan pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, masing-masing daripada kita tahu apakah penyakit yang selama ini dihidapi. Dari sudut ini, penulis buku tersebut menyarankan bahawa masing-masing dapat terbuka menyampaikan sejarah kesihatan kepada calon pasangan masing-masing.

Seperti biasa, senaman juga adalah perkara yang diketahui sangat penting untuk memaintainkan kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Kata Pak Cah, sihat dan bugar itu, amat diperlukan dalam konteks hubungan suami isteri yang lebih optimal.

Akhir sekali, nasihat Pak Cah dalam bukunya bahawa jangan terbiasa menggunakan ubat peransang kerana akhir-akhirnya nanti akan membawa kepada gangguan kesihatan yang lain di masa depan.


# PERSIAPAN 4: PERSIAPAN MATERIAL #
Persiapan material ini digunakan sebagai sarana yang baik dalam melakukan pelbagai ibadah seperti perkahwinan ini sendiri, menunaikan haji dan ibadah wajib harian kita.

Apa yang Pak Cah tekankan di sini adalah seluruh biaya kehidupan rumah tangga menjadi kewajipan sang suami untuk memikulnya. Manakala si isteri berkewajipan dalam pengelolaan keewangan dalam rumah tangga. Maka apa sahaja skil dan pengetahuan yang mengarah kepada perlaksanaan kewajipan suami isteri yang lebih baik, perlunya ilmu juga =)

Di sini ada isu menarik yang dibincangkan oleh Pak Cah, iaitu apakah isteri terhalang untuk bekerja kerana mahu menunaikan hak sang suami?

Mari kita semak perkataan Ibnu Hajar. Katanya, "Wanita itu terhalang untuk bekerja kerana menunaikan hak suami."

Meskipun kaum perempuan tidak dibebankan kewajipan untuk mencari rezeki, ia tidak bermakna tidak boleh bekerja secara produktif. Dalam kehidupan sekarang yang semakin kompleks keperluannya, sangat relevan si isteri bersama-sama bekerja mengurangkan beban material ini selagi mana si suami meredhainya dan pekerjaan yang diceburi halal sumbernya dan sesuai dengan fitrah masing-masing.

Perkara lain yang menjadi pertimbangan adalah sebagai persiapan diri sekiranya si suami meninggal terlebih dahulu atau terjadinya perceraian, nauzubillah. Secara praktikalnya, anak-anak nanti memerlukan biaya yang bukan sedikit untuk meneruskan persekolahan atau pengajian. Dipendekkan cerita, kaum wanita memerlukan pelatihan melakukan kerja produktif untuk mengantipasi pelbagai kemungkinan yang tak diinginkan di masa depan. Lagipun sekarang banyak pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah sahaja tanpa perlu meninggalkan suami dan anak-anak. Cuma, tentu sahaja harus ada kerelaan suami shingga tidak menimbulkan permasalahan baru bagi keluarga.


# PERSIAPAN 5: PERSIAPAN SOSIAL #
Pernikahan adalah satu medium bertukarnya status seseorang dalam masyarakat. Sewaktu bujang, dia masih menjadi sebahagian daripada keluarga ibu bapanya, tetapi setelah menikah, mereka mula dikira sebagai keluarga yang tersendiri.

Sebagai langkah persediaan, Pak Cah menyarankan pembaca untuk membiasakan diri terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan kerana itu adalah ajaran agama Islam supaya umatnya peduli dan terlibat secara sosial dalam masyarakat.

Firman Allah taala dalam Surah An Nisa':36 mafhumnya,
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu. Dan berbuat baiklah terhadap kedua orang tua, kerabat-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."

Pesan Rasulullah kepada Abu Dzar,
"Hai Abu Dzar, jika engkau memasak maka perbanyakkanlah kuahnya dan perhatikan tetanggamu."

"Hai para wanita muslimah, janganlah kalian merasa rendah diri jika akan memberi hadiah kepada tetangga, walaupun hanya dengan hujung kaki kambing."


Subhanallah! cantiknya ajaran Islam yang menata hubungan umatnya sesama mereka.

Isu lain yang dikupas Pak Cah adalah, zaman ini para mahasiswa tidak atau jarang dilibatkan dengan aktiviti kemasyarakatan di tempat masing-masing. Ini penulis setuju. Mereka hanya mengenal dunia kampus dengan segala macam aktiviti dan idealismenya tapi kekok bila bercampur dengan masyarakat sekeliling.

Hmm. Tak patut juga ya kerana para mahasiswa adalah generasi penerus negara yang akhirnya akan terjun dalam masyarakat juga. Terus bagaiman kita boleh mencairkan rasa kekok itu nanti? Hadiri sahaja majlis keramaian seperti kenduri kahwin (eloknya datang lebih awal untuk tolong-tolong kupas bawang ke =) selalunya gotong royong ini banyak kita dapati di kawasan kampung, di bandar hanya ada catering, ha yang ini tak perlu tolong lah, jemput makan ja). Belajar-belajar menjengok orang sakit samada di rumah atau di hospital, orang meninggal jangan dilupakan..hm indah ya aturan hidup kita jika individualistik dapat dikikis sejak dari awal lagi. Jom kita cuba bersama!
Jangan lupa tips mudah supaya pembawakan diri tidak kekok. Apa ya? Tampilkan dengan wajah sosial. Senyum selalu dan gunakan bahasa yang sesuai mengikut peringkat dan latar belakang orang yang kita bawa bersembang.

Alhamdulillah cukup dahulu setakat ini.
Selamat mencuba kepada semua pembaca budiman.

Sumber utama: Di Jalan Dakwah Aku Menikah
Penulis: Cahyadi Takariawan

No comments:

Post a Comment