peduli ummat

Showing posts with label ibubapa. Show all posts
Showing posts with label ibubapa. Show all posts

Monday, May 3, 2010

Ibu Mithali

Tanggal 3 Mei 2000, ibuku menghembus nafasnya yang terakhir..
pergi tak akan kembali..selamanya
dan hari ini 3 Mei 2010,
maka genap sudah 10 tahun ibuku meninggalkanku
rindu diri ini ingin bersua muka sudah tak terbendung
hingga doa dipohon agar ditemukan Allah
walau dalam mimpi
walau dijelmakan dalam 'roh'
semoga Allah pertemukan nanti di syurga
terbetik di hati ini apakah ibuku bahagia di alam kubur sekarang?
dapatkah aku memberikan kebahagiaan kepadanya?
kupohon pada Allah ambil sahaja semua pahala amalanku
dan berikan semuanya kepada ibuku
walau aku belum tahu apakah amalan-amalan tadi diterima
tapi aku harap dan pohon supaya ia diterima
agar ia menjadi pelita di dalam kubur yang gelap
agar ia menjadi pendamping di kala sunyi
agar ia menjadi taman-taman syurga yang indah
O Allah ampunilah ibuku
kasihanilah dia sepertimana dia mengasihiku ketika kecilku
tempatkanlah dia disisi hamba-hamba Mu yang beriman
temukanlah kami di syurga nanti..
amin

Al Fatihah buat ibuku..
"Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wafu'anha"
Ibu mithali ibu yang sejati kasih sayangmu kasih yang suci pengorbananmu disanjung tinggi jasamu tetap di sanubari ibu oh ibu sikapmu murni kelembutanmu menyentuh hati semai kasihmu dalam jiwaku kau disayangi kerna menyayangi ibu oh ibu hatimu suci tulus ikhlasmu mendidik daku sanggup bersusah dan menderita demi kebahagiaan sekeluarga ibu oh ibu kau serikandi bakti amalmu tidak terperi beramal soleh berperibadi mentaati Allah juga suami


Saturday, April 17, 2010

Pinanganmu Diterima..Kemudian?



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki segala keindahan dan kesempurnaan hakiki, yang telah menghamparkan cinta dan kasih sayang di antara para kekasih.

Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas sesuatu. Yang menjadikan segala sesuatu berpasang-pasangan, termasuk juga manusia. Allah telah menciptakan makhluq yang bernama manusia dengan ciptaan terindah, dan untuk mereka Allah ciptakan pasangannya.

Secara nalurinya, manusia akan memiliki keterikatan kepada lawan jenis. Ada sesuatu yang amat kuat menarik, sehingga laki-laki dengan dorongan naluri dan fitrahnya mendekati perempuan. Sebaliknya, dengan perasaan dan kecenderungan alamiyahnya perempuan merasakan kesenangan tatkala didekati lelaki.

Untuk merealisasikan keterikatan tersebut menjadi sebuah hubungan yang benar dan manusiawi, Islam datang dengan membawa ajaran pernikahan. Pernikahanlah yang menyebabkan sunnah keserasian lelaki dan perempuan tersusun. Fitrah kemanusiaan berupa keterikatan lawan jenis tidak akan dapat dibunuh atau dimampatkan dengan cara apa pun.

Alhamdulillah..setelah ramai yang bertanyakan tentang diri Sal (nama samaran) akhirnya lamaran seorang jejaka diterima dengan dada yang lapang. Maka apakah persiapan yang perlu diperhalusi sebelum masuk ke alam yang baru?

Mari kita semak perbincangan dalam buku "Di Jalan Dakwah Aku Menikah" tulisan Cahyadi Takariawan yang diterbitkan oleh ERA Intermedia, Indonesia.


Kata Pak Cah, panggilan ramah si penulis,
"Kesiapan adalah perpaduan harmonis antara pekerjaan hati, akal, dan anggota tubuh. Tidaklah seseorang dikatakan siap melakukan sesuatu sebelum akal, hati dan anggota tubuhnya menyatakan kesanggupan."


..KUSIAPKAN DIRI MENUJU PERNIKAHAN..

#PERSIAPAN 1: MORAL & SPIRITUAL#
Kesiapan spiritual ditandai oleh mantapnya niat dan langkah menuju kehidupan berumah tangga. Bagi kaum lelaki, kesiapan diri adalah untuk bertindak sebagai pemimpin dalam rumah tangga dan sebagai bapa bagi anak-anak yang bakal lahir nanti. Manakala bagi sang perempuan, harus ada kesiapan diri untuk membuka ruang baru bagi kehadiran orang baru dalam kehidupannya nanti yang bergelar suami. Mesti siap untuk mengurangi sebahagian autoriti ke atas dirinya sendiri untuk tunduk taat kepada suami. Persiapan untuk hamil, melahir dan menyusui anak-anak serta menanggu apa jua beban baru yang akan muncul selepas kehadiran zuriat kelak.

Persiapan spiritual boleh dilakukan dengan melaksanakan pelbagai tuntutan ibadah wajib dan sunat. Mohon doa kepada Allah agar kita sentiasa mendapat petunjuk-Nya ketika meniti hidup sehingga tidak melencong dari kebenaran. Lebih penting lagi adalah berusaha untuk sentiasa berada di dalam kebaikan bersama-sama dengan kaum muslimin yang lainnya.

Untuk persiapan moral, jika kita mahu pasangan yang baik, maka jadikan diri baik terlebih dahulu. Allah taala telah memberikan jaminan-Nya dalam Surah An-Nuur:26, mafhumnya,
" Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita yang keji (pula). Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)".


Apa yang telah dicontohkan oleh generasi hebat para sahabat, persiapa moral ini dilakukan dengan meningkatkan pengetahuan agama dan pembaikan diri secara berterusan. Maka penting bagi setiap kita untuk bergabung denagan persekitaran yang membina.


#PERSIAPAN 2: KONSEPSIOANAL#
Pak Cah menghuraikan topik ini lebih kepada bagaimana penguasaan pasangan suami isteri sekitar hukum dan etika sepanjang menjalani hidup dalam rumah tangga.

Mari kita semak diri kita sendiri dengan persoalan di bawah:
1. Sudahkah kita tahu doa hubungan suami isteri?
2. Bagaimanakah cara mandi hadas besar?
3. Berapakah jenis najis dan bagaimanakah cara-cara membersihkan najis tersebut?
4. Sudah hadamkah apa sahaja peranan suami & isteri?

Penulis menyarankan agar kita perlu banyak belajar dan mengikuti pengajian serta diskusi, agar nanti kita tidak malu bertanya kepada orang yang ahli dalam bidang masing-masing.

Apa lagi Umar Al Khattab ada memesan kepada golongan lelaki,"Ajari isterimu kandungan surah An-Nuur."

p/s: persiapan seterusnya akan disambung dalam entri akan datang Insyaallah.
selamat membaca semua =)

Monday, June 15, 2009

.:. Selamat Hari Bapa .:.





Ingin mengimbau kenangan bersama abah sepanjang aku mengorak langkah di atas muka bumi ini..sebagai motivasi dalaman untuk menjadi seseorang..abah banyak mengajarku menjadi manusia.

Pernah aku menyelak helaian album lama abah. Suka tengok gambar-gambar lama..jeng jeng jeng! muka aku ada terselit juga. Nampaknya sewaktu aku kecil dahulu, abah selalu bawa ke mana-mana sahaja. Apa yang penting, aku akan disiapkan dengan sebuah topi ajaib disarungkan di atas kepala. Warna skaf selalunya coklat. Teringat waktu dulu, aku memang dilatih untuk pakai skaf dan tudung bila keluar rumah. Terima kasih abah..mak..sampai sekarang shah bertudung. Orang Melayu selalu kata: melentur buluh biarlah daripada rebungnya.


PRA-SEKOLAH atau PASTI


Aku ada seorang kawan baik. Ainatul namanya. Rumahnya tidaklah jauh dari sekolah. Sebenarnya itu adalah rumah neneknya. Selalu kami bermain di sana selepas sekolah.

Satu hari..

Lepas sekolah, aku pergi lagi ke rumah Ainatul. Duduk situ sampai petang.

Makan di sana.

Solat pun di sana. Sampaikan dengan nenek Ainatul pun sudah kamcing.

Tapi hati rasa semacam juga sebenarnya.. bimbang abah marah sebab tak balik rumah lagi.
Tiba-tiba..aku terdengar enjin motor mendekat ke rumah Ainatol. Hm. Berdebar rasa.
Sah! Memang abah yang datang!

Takutnya..tak apa, bisikku. Berani buat, berani tanggung. Tapi yang peliknya, mana abah tahu yang aku melepak kat rumah Ainatul. Abah memang ada spy ni.
Perlahan-lahan aku mendekati abah dan terus naik motor, membonceng di belakang.Aha!
Sampai sahaja di rumah..abah suruh tutup dan mengadap pintu dengan tangan melekat di pintu. Macam menahan pintu dari roboh aja. Phew!

"Angkat tapak kaki!" suruh abah

Zzup!
Tapak kaki kena sebat.
Ssss. Baru padan muka aku.

Lepas sebat, abah panggil aku dan nasihat aku dengan baik supaya bagi tahu dulu jika mahu ke mana dan jangan ulangi kesilapan yang sama lagi. Sewaktu itu, abah bagiku sangat garang. Tapi selepas kejadian itu, aku tak pernah lagi abah pukul..sampai sekarang. Kalau ada pun, dah tak ingat bila. Itulah antara sebabnya, bila aku dimarahi senior ketika di sekolah berasrama dulu, aku tak tahu nak merespon bagaimana. Hingga mereka kata, "Awak memang tak pernah kena marah ke?"
Huh? "Kenapa", hatiku bermonolog.


Di hari yang lain pula.
Aku berpeluang mengikuti rombongan sekolah pergi peraduan mewarna di sekolah lain. Setelah selesai, kami pulang dengan hadiah di tangan. Sampai sahaja van yang menghantar kami pulang di hadapan jalan raya besar yang berdekatan dengan rumah, aku pun turun. Toleh kanan. Toleh kiri. Aku bertekad terus lintas jalan. Bukan jalan kampung. Tapi jalan besar. Phew! Lega rasanya bila dapat melintas dengan selamat. Inilah kali pertama aku melintas jalan besar sendirian. Kejadian ini bagiku bukan perkara luar biasa.. sehinggalah awal tahun ini, abah ceritakan semula. Kata abah, "Abah tahu setiap kelebihan dan kekurangan anak-anak abah. Aishah dulu waktu kecil sudah berani lintas jalan sorang-sorang, pergi ke mana-mana boleh sorang-sorang, jadi abah tak riu sangat."
Gulp! Rupa-rupanya abah sangat perihati akan diriku. Terima kasih abah. Kerana mengajarku untuk berdiri atas kaki sendiri. (Boleh la sikit-sikit)


SEKOLAH RENDAH

Selalu juga aku dapat tempat terbaik atau dapat anugerah apa sahaja yang memmerlukan aku naik ke pentas.

Pada waktu itu, sudah 3 minggu (rasanya) aku tak ke sekolah. Demam campak. Tapi Hari Anugerah aku mahu pergi kerana mahu terima hadiah. Alhamdulillah demamku semakin kebah. Abah menemaniku pergi ke sekolah.

Apabila namaku dipanggil, aku melangkah bangga ke pentas. Eh. Eh. Tiba-tiba kakiku tersadung anak tangga pentas.

"Allahu Akbar!", aku terdengar abah melaung. Huh. Nasib baik tak terjatuh. Aku kerling ke bawah. Rupanya abah terbangun dari tempat duduknya. Alhamdulillah hadiah bertukar tangan dan hadirin semua bertepuk tangan. Aku tersenyum..

Abah gemar mengucapkan tahniah dengan bersalam seakan-akan seorang MB menyalami menterinya. Sebenarnya, anak-anak sangat memerlukan sokongan ibu bapa untuk berjaya. Terasa hangat tangan memindahkan haba semangat. Begitulah selalunya abah mengucapkan tahniah kepada anak-anaknya.

Di dalam kelas. Kawan sebelahku adalah lelaki. Din namanya. Aku suka berkawan dengannya kerana dia adalah pesaing terhebatku. Tapi selalu juga aku kalah dengannya dalam pelajaran. Pernah menang sekali sahaja. Din gemar baca komik. Komik Dragon Ball. Dia selalu pinjamkan aku komiknya. Jika aku bawa balik ke rumah, abah akan rampas. Yang nakalnya, aku tetap akan baca sampai habis. Selalunya baca di sekolah atau di balik pintu bilik. Abah tahu helah aku. Tapi abah tak pula marah.


Satu hari abah belikan aku buku penyiasatan, Siri Salma. Maka berjaya juga abah mencari pengganti bahan bacaan yang lebih baik. Cara teguran yang berkesan aku fikir.




SEKOLAH MENENGAH

Zaman ini, banyak kenangan yang menyedihkan.

Tingkatan 2.
Emak pergi buat selamanya..

Abah memang diuji dengan ujian yang berat. abah diserang penyakit jantung pula. Waktu itu, aku sangat kasihan dengan abah dan adik-adik. Aku di asrama cukup makan. Tapi mereka di rumah..

Abah asyik terbaring di atas katil bekas jenazah mak diletakkan. Tambahan pula, kaset Qatrunnada dimainkan membuatkan suasana rumah sayu..sedih..Abah yang mahu lagu ini dimainkan. Biar sajalah.

Makanan kami, abah tempah daripada kenalan kami di kampung. Hanya tinggal untuk kami mengambilnya setiap kali pulang dari sekolah.

Apa yang aku belajar dari kisah ini, kekuatan seseorang lelaki banyak disokong oleh seseorang perempuan. Ibaratnya separauh nyawa telah pergi jika kematian isteri. Walaubagaimanapun, ramai yang datang ke rumah memberikan sokongan. Alhamdulillah abah sembuh semula dan kami semua lihat abah ceria seperti sedia kala. Cuma sekali sekala sahaja kulihat abah sedih, terutamanya ketika kami pergi ke kuburan.

Senang sahaja abah didik aku supaya tidak tidur lepas subuh. "Aishah, tolong jerang air lepas solat. Kemudian siapkan sarapan ya. Tips ni memang berkesan. Sebab, selepas sarapan siap, hari dah terang dan kami selalu keluar rumah berkebun. Cabut rumput je. Tak dapat nak tidur. Alhamdulillah. Tak tidur selepas subuh sudah menjadi kebiasaan. Padahal kawan-kawan pelik kenapa aku boleh tahan tak tidur lepas subuh.

Kalau kejut bangun tidur, abah panggil sahaja namaku BERULANG-ULANG kali. Intonasi suara tak tinggi pun. Tambahan pula aku sangat sensitif bila dengar namaku disebut. Ini pula banyak kali. Sudah tentu aku bangun.

Selalu aku pesan kepada kawan-kawan, jangan cuba mengumpat aku ketika aku sedang tidur. Kerana bila sahaja namaku disebut, telingaku akan memicing mendengar bualan..Abah yang mendidik aku begini. Terima kasih abah.


SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM)

Selesai sahaja sekolah menengah, aku menyambung pelajaran di peringkat STAM. Ketika borang universiti diisi, abah yang pilihkan universiti mana, jurusan apa..sebab aku tak kesah. (apa nak jadi ni)

Bila keputusan keluar, abah lah orang yang paling seronok. Aku tak rasa apa-apa. Yang membuatkan aku setuju dengan keputusan abah adalah sebab abah mungkin lebih tahu apa yang terbaik untuk anaknya. Aku hanya gembira melihat abah gembira. Jadi ketaatan pun datang.

UIA

Masa yang ada, ketika aku balik cuti, kami suka bertukar-tukar fikiran. Buat aktiviti bersama-sama. Teman abah ke pasar. Menonton TV. Kami berkongsi minat yang sama. Suka cerita lasak atau lebih tepat lagi yang ada lawan-lawan. Abah suka berkongsi ilmu terutamanya ketika menonton cerita yang ada kaitan dengan sejarah. Abah suka membaca dan sejarah adalah minatnya. Apa lagi kami tonton TV sambil bersembang. Tabiat bersembang bila menonton TV susah pula nak dikawal ketika menonton TV bersama kawan-kawan (terperasan juga yang mereka hanya diam ketika menonton). Bukan apa, abah hanya suka mengulas apa yang baik dan tidak boleh diikuti sahaja.

Teringat lagi bila abah berfalsafah, "hidup ini ibarat sungai dan manusia ibarat ranting kayu yang dibawa arus sungai. Kita sudah pasti ke mana akan dibawa arus. Ya. Ke muara. Dalam perjalanan ke sana, kita mungkin akan tersangkut di mana-mana rumput di tebing sungai. Kemudian setelah beberapa ketika, perjalanan ranting tadi tetap akan diteruskan ke muara. Hanya sebentar cuma. Menyapa si rumput. Maksudnya, manusia ada hala tujunya dalam hidup iaitu akhirat, dunia abadi. Dalam menuju ke sana, kita akan menemui banyak ujian, keadaan dan suasana mahupun dengan sesiapa sahaja dalam hidup kita sekarang. Tak perlu rasa sedih dan kecewa atau terlalu teruja. Kerana pertemuan dengan manusia lainnya hanya sebentar. Kerana ujian yang menimpa tidak kekal..

Aku angguk faham.

Satu hari, aku bertekad mahu menunjukkan sayang aku kepada abah. Kerana mengikut kajian, orang Malaysia susah sangat menunjukkan sayangnya kepada orang lain. Tapi aku mahu buktikan aku boleh mengubahnya.

Tekadku, aku mahu cium pipi abah.

Satu hari sebelum aku berangkat pergi ke uia..

Segala beg sudah siap sedia. Semuanya sudah.
Tinggal nak salam abah je.

Semangat yang membara aku kumpul.
Malu sebenarnya.

Tekad aku bulat.

"Tok. Tok", pintu bilik abah ku ketuk.

BIla cium tangan abah..
aku terus cium pipi abah.

Huish! Malu. Usah cerita. Panas seluruh muka. Telinga pun sama.
"Tajamnya janggut abah..", kataku untuk hilangkan malu.

Lepas salam sahaja. Terusku berlari ambil beg dan keluar rumah. Almaklumlah malu. Tapi sekarang tidak lagi.

*********************************

Kesimpulannya, biar kita mahu buat sesuatu yang mungkin kita fikir malu dan sebagainya. Tapi ingatlah, sebagai anak, kita mahu biarkan mereka menangis kerana kegembiraan bukan menangis kerana kekecewaan. Tapi sangat menyedihkan zaman sekarang. Tidak kira ayah mahupun ibu. Bila sahaja anak-anak ditegur tentang kesalahan mereka, terus sahaja digertak, ditumbuk, dibelasah dan sebagainya..sangat menyedihkan.

Friday, May 8, 2009

I love U



ketika dulu lagu kartun Barney menjadi siulan kanak-kanak sebaya saya. ada satu lagu pada saya sangat memberi 'sentimental value' yang akan sentiasa dinyanyikan sebagai penutup lagu program tersebut. sekadar mengimbau untuk didedikasi buat semua wanita yang bergelar ibu..sempena HARI IBU


i love you..you love me..
we are happy family
with a great big hug and a kiss from me to you
won't you say you love me too


dalam dunia ini..insan yang paling utama disayangi dan dihormati adalah ibu kita..
sehinggakan jika sedang solat sunat pun wajib kita menyahut sahutannya jika dipanggil.
hmm..tapi ketaatan kepada ibu bapa mestilah dalam rangka mentaati Allah..


ibu mendidik kita menjadi insan yang berguna
ibu adalah insan mulia sehinggakan syurga yang menjadi destinasi setiap dari kita di bawah tapak kakinya


tapi sejak akhir-akhir ini, kelihatannya ramai remaja yang sudah rosak akhlaqnya. senaraikan sahaja jenayah apa. boleh dikatakan semuanya melibatkan golongan remaja atau pemuda harapan bangsa. rempit. rogol. ragut. bunuh. seks bebas. lari rumah. aggresive softy. sugar daddy. tak berhenti senarainya. apa pula akan terjadi negara di masa depan ya? apakah golongan remaja sebigini layak memegang tampuk kepemimpinan negara. bimbang hancur dan porak perandalah negara nanti.


bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak dengan fenomena dahsyat ini. persoalannya, bukankah ibu sumbangan terbesar dalam pembentukan peribadi seseorang?
jika mahu dianalisis keadaan majoriti ibu zaman sekarang, boleh dikatakan mereka disibukkan dengan kerjaya..ibu zaman moden kata orang. mungkinkah ini punca tragedi ini? atau mungkin berpunca daripada nukleus sebuah institusi keluarga itu sendiri yang pada ketika ini mencatat bilangan perceraian yang amat membimbangkan. Hmm..


rintihan anak-anak..siapa mahu mendengar jika tidak si ibu..ibulah tempat mereka mengadu masalah dan berkongsi kegembiraan..kadang-kadang jika luahan hati tak dapat disampaiakan kepada si ibu kerana mengharapkan belaian kasih sayang sejati, mereka akan memberontak melakukan apa sahaja yang difikirkan dapat menarik perhatian ibu..apa sahaja..sehingga sampai melakukan perkara yang tak sepatutnya..mungkin ini cara mereka berekspresi tentang perasaan mereka yang kegersangan kasih sayang serta perhatian. hanya Allah yang mengetahui..






sungguhpun begitu, ini tidak bermakna ayah tidak perlu mendidik anak. si ayah yang menentukan kesejahteraan keluarga dengan peraturan dan perancangannya dan si ibu melaksanakan apa yang telah diaturkan bersama. suka dikongsi, saya amat tersentuh dengan cara seorang ayah yang walaupun sibuk tapi pendidikan anak juga menjadi keutamaan dirinya. kisah ini diceritakan dalam sebuah buku berjudul 'Cinta di Rumah Hasan Al Banna'. mungkin sebagai cadangan bahan pembacaan bagi bakal atau yang sudah bergelar bapa. sangat praktikal!


Seorang ahli bijak pandai Islam pernah berkata: "Ceritakan kepadaku keadaan pemuda dalam sesebuah kaum..maka akan ku khabarkan kepadamu keadaan kaum tersebut di masa depan". Kata-kata ini terus terang mengetuk benak hati kita betapa pemuda adalah tunggak sesebuah kebangkitan dan mungkin juga kejatuhan peradaban. Sejarah telah pun membuktikan setiap kebangkitan di dunia ini semuanya didukung oleh golongan pemuda. Sebagai contoh, Sultan Muhammad Al Fateh, seorang pemuda yang memiliki izzah yang tinggi terhadap Islam telah berjaya membebaskan Constantinople (Turki) yang pada ketika itu beliau hanya berumur 17 atau 18 tahun. Idea bernasnya dalam teknik peperangan telah menjangkaui pemikiran orang sezaman dengan beliau. Lihat juga kehebatan Solahuddin Al Ayyubi yang berjaya membebaskan Palestin suatu ketika dulu.


Siapalah tokoh-tokoh ini tanpa sentuhan pentarbiyahan yang diterima terus daripada seorang insan yang bergelar ibu..juga bapa. benarlah kata-kata terkenal bahawa di sebalik kejayaan seseorang lelaki itu ada wanita yang menjadi pendukungnya untuk terus melakar sejarah besar dengan keupayaan yang luar biasa.


"Ya Allah kasihinilah kami para pemuda yang selalu tidak sedar akan kesalahan yang dilakukan..jangan Engkau biarkan kami melakukan perkara yang boleh merosakkan diri, keluarga mahupun agama kami ini..bimbinglah kami ke jalan Mu yang terang benderang..sedarkanlah kami apabila kami leka dan lalai..putuskanlah apa yang terbaik buat kami dan jangan biarkan kami sendirian walau sekelip mata sekalipun..tunjukkanlah jalan bagaimana dapat kami membalas jasa ibu bapa tanpa mengurangkan sedikit pun ketaatan kepadaMu yang sentiasa menuntut pengorbanan yang bukan sedikit..kami bimbang Ya Allah segala tindak tanduk ini mengundang rasa tidak enak dalam hati ibu bapa kami..hanyalah Engkau Ya Allah Tuhan alam semesta yang memberikan rasa bahagia dalam hati ibu bapa kami.. kami mohon rasa bahagia itu dicurahkan kepada ibu bapa kami sementara mereka masih hidup ini..kerana kami tahu jasa mereka kepada kami tak terbalas walau dengan emas sepenuh bumi..kami takut kami derhaka kepada mereka dalam ketaatan kami kepadaMu..jika mereka sudah pergi dahulu sebelum kami..kami mohon dengan sangat Ya Allah..engkau sampaikanlah segala balasan kebaikann kami semuanya kepada mereka agar mereka tenang dalam persemadian..agar berjumpa semula di dalam puncak kenikmatan syurgaMu di sana nanti..supaya dapat dilepaskan rindu antara ibu dan anak setelah berpisah seketika di dunia..Ya Allah..daripada Engkau segala kebaikan yang kami pohon..makbulkanlah doa kami..amin Ya Rabbal a'lamin."






~mahu perbaiki diri menggarap potensi~