peduli ummat

Monday, June 15, 2009

.:. Selamat Hari Bapa .:.





Ingin mengimbau kenangan bersama abah sepanjang aku mengorak langkah di atas muka bumi ini..sebagai motivasi dalaman untuk menjadi seseorang..abah banyak mengajarku menjadi manusia.

Pernah aku menyelak helaian album lama abah. Suka tengok gambar-gambar lama..jeng jeng jeng! muka aku ada terselit juga. Nampaknya sewaktu aku kecil dahulu, abah selalu bawa ke mana-mana sahaja. Apa yang penting, aku akan disiapkan dengan sebuah topi ajaib disarungkan di atas kepala. Warna skaf selalunya coklat. Teringat waktu dulu, aku memang dilatih untuk pakai skaf dan tudung bila keluar rumah. Terima kasih abah..mak..sampai sekarang shah bertudung. Orang Melayu selalu kata: melentur buluh biarlah daripada rebungnya.


PRA-SEKOLAH atau PASTI


Aku ada seorang kawan baik. Ainatul namanya. Rumahnya tidaklah jauh dari sekolah. Sebenarnya itu adalah rumah neneknya. Selalu kami bermain di sana selepas sekolah.

Satu hari..

Lepas sekolah, aku pergi lagi ke rumah Ainatul. Duduk situ sampai petang.

Makan di sana.

Solat pun di sana. Sampaikan dengan nenek Ainatul pun sudah kamcing.

Tapi hati rasa semacam juga sebenarnya.. bimbang abah marah sebab tak balik rumah lagi.
Tiba-tiba..aku terdengar enjin motor mendekat ke rumah Ainatol. Hm. Berdebar rasa.
Sah! Memang abah yang datang!

Takutnya..tak apa, bisikku. Berani buat, berani tanggung. Tapi yang peliknya, mana abah tahu yang aku melepak kat rumah Ainatul. Abah memang ada spy ni.
Perlahan-lahan aku mendekati abah dan terus naik motor, membonceng di belakang.Aha!
Sampai sahaja di rumah..abah suruh tutup dan mengadap pintu dengan tangan melekat di pintu. Macam menahan pintu dari roboh aja. Phew!

"Angkat tapak kaki!" suruh abah

Zzup!
Tapak kaki kena sebat.
Ssss. Baru padan muka aku.

Lepas sebat, abah panggil aku dan nasihat aku dengan baik supaya bagi tahu dulu jika mahu ke mana dan jangan ulangi kesilapan yang sama lagi. Sewaktu itu, abah bagiku sangat garang. Tapi selepas kejadian itu, aku tak pernah lagi abah pukul..sampai sekarang. Kalau ada pun, dah tak ingat bila. Itulah antara sebabnya, bila aku dimarahi senior ketika di sekolah berasrama dulu, aku tak tahu nak merespon bagaimana. Hingga mereka kata, "Awak memang tak pernah kena marah ke?"
Huh? "Kenapa", hatiku bermonolog.


Di hari yang lain pula.
Aku berpeluang mengikuti rombongan sekolah pergi peraduan mewarna di sekolah lain. Setelah selesai, kami pulang dengan hadiah di tangan. Sampai sahaja van yang menghantar kami pulang di hadapan jalan raya besar yang berdekatan dengan rumah, aku pun turun. Toleh kanan. Toleh kiri. Aku bertekad terus lintas jalan. Bukan jalan kampung. Tapi jalan besar. Phew! Lega rasanya bila dapat melintas dengan selamat. Inilah kali pertama aku melintas jalan besar sendirian. Kejadian ini bagiku bukan perkara luar biasa.. sehinggalah awal tahun ini, abah ceritakan semula. Kata abah, "Abah tahu setiap kelebihan dan kekurangan anak-anak abah. Aishah dulu waktu kecil sudah berani lintas jalan sorang-sorang, pergi ke mana-mana boleh sorang-sorang, jadi abah tak riu sangat."
Gulp! Rupa-rupanya abah sangat perihati akan diriku. Terima kasih abah. Kerana mengajarku untuk berdiri atas kaki sendiri. (Boleh la sikit-sikit)


SEKOLAH RENDAH

Selalu juga aku dapat tempat terbaik atau dapat anugerah apa sahaja yang memmerlukan aku naik ke pentas.

Pada waktu itu, sudah 3 minggu (rasanya) aku tak ke sekolah. Demam campak. Tapi Hari Anugerah aku mahu pergi kerana mahu terima hadiah. Alhamdulillah demamku semakin kebah. Abah menemaniku pergi ke sekolah.

Apabila namaku dipanggil, aku melangkah bangga ke pentas. Eh. Eh. Tiba-tiba kakiku tersadung anak tangga pentas.

"Allahu Akbar!", aku terdengar abah melaung. Huh. Nasib baik tak terjatuh. Aku kerling ke bawah. Rupanya abah terbangun dari tempat duduknya. Alhamdulillah hadiah bertukar tangan dan hadirin semua bertepuk tangan. Aku tersenyum..

Abah gemar mengucapkan tahniah dengan bersalam seakan-akan seorang MB menyalami menterinya. Sebenarnya, anak-anak sangat memerlukan sokongan ibu bapa untuk berjaya. Terasa hangat tangan memindahkan haba semangat. Begitulah selalunya abah mengucapkan tahniah kepada anak-anaknya.

Di dalam kelas. Kawan sebelahku adalah lelaki. Din namanya. Aku suka berkawan dengannya kerana dia adalah pesaing terhebatku. Tapi selalu juga aku kalah dengannya dalam pelajaran. Pernah menang sekali sahaja. Din gemar baca komik. Komik Dragon Ball. Dia selalu pinjamkan aku komiknya. Jika aku bawa balik ke rumah, abah akan rampas. Yang nakalnya, aku tetap akan baca sampai habis. Selalunya baca di sekolah atau di balik pintu bilik. Abah tahu helah aku. Tapi abah tak pula marah.


Satu hari abah belikan aku buku penyiasatan, Siri Salma. Maka berjaya juga abah mencari pengganti bahan bacaan yang lebih baik. Cara teguran yang berkesan aku fikir.




SEKOLAH MENENGAH

Zaman ini, banyak kenangan yang menyedihkan.

Tingkatan 2.
Emak pergi buat selamanya..

Abah memang diuji dengan ujian yang berat. abah diserang penyakit jantung pula. Waktu itu, aku sangat kasihan dengan abah dan adik-adik. Aku di asrama cukup makan. Tapi mereka di rumah..

Abah asyik terbaring di atas katil bekas jenazah mak diletakkan. Tambahan pula, kaset Qatrunnada dimainkan membuatkan suasana rumah sayu..sedih..Abah yang mahu lagu ini dimainkan. Biar sajalah.

Makanan kami, abah tempah daripada kenalan kami di kampung. Hanya tinggal untuk kami mengambilnya setiap kali pulang dari sekolah.

Apa yang aku belajar dari kisah ini, kekuatan seseorang lelaki banyak disokong oleh seseorang perempuan. Ibaratnya separauh nyawa telah pergi jika kematian isteri. Walaubagaimanapun, ramai yang datang ke rumah memberikan sokongan. Alhamdulillah abah sembuh semula dan kami semua lihat abah ceria seperti sedia kala. Cuma sekali sekala sahaja kulihat abah sedih, terutamanya ketika kami pergi ke kuburan.

Senang sahaja abah didik aku supaya tidak tidur lepas subuh. "Aishah, tolong jerang air lepas solat. Kemudian siapkan sarapan ya. Tips ni memang berkesan. Sebab, selepas sarapan siap, hari dah terang dan kami selalu keluar rumah berkebun. Cabut rumput je. Tak dapat nak tidur. Alhamdulillah. Tak tidur selepas subuh sudah menjadi kebiasaan. Padahal kawan-kawan pelik kenapa aku boleh tahan tak tidur lepas subuh.

Kalau kejut bangun tidur, abah panggil sahaja namaku BERULANG-ULANG kali. Intonasi suara tak tinggi pun. Tambahan pula aku sangat sensitif bila dengar namaku disebut. Ini pula banyak kali. Sudah tentu aku bangun.

Selalu aku pesan kepada kawan-kawan, jangan cuba mengumpat aku ketika aku sedang tidur. Kerana bila sahaja namaku disebut, telingaku akan memicing mendengar bualan..Abah yang mendidik aku begini. Terima kasih abah.


SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM)

Selesai sahaja sekolah menengah, aku menyambung pelajaran di peringkat STAM. Ketika borang universiti diisi, abah yang pilihkan universiti mana, jurusan apa..sebab aku tak kesah. (apa nak jadi ni)

Bila keputusan keluar, abah lah orang yang paling seronok. Aku tak rasa apa-apa. Yang membuatkan aku setuju dengan keputusan abah adalah sebab abah mungkin lebih tahu apa yang terbaik untuk anaknya. Aku hanya gembira melihat abah gembira. Jadi ketaatan pun datang.

UIA

Masa yang ada, ketika aku balik cuti, kami suka bertukar-tukar fikiran. Buat aktiviti bersama-sama. Teman abah ke pasar. Menonton TV. Kami berkongsi minat yang sama. Suka cerita lasak atau lebih tepat lagi yang ada lawan-lawan. Abah suka berkongsi ilmu terutamanya ketika menonton cerita yang ada kaitan dengan sejarah. Abah suka membaca dan sejarah adalah minatnya. Apa lagi kami tonton TV sambil bersembang. Tabiat bersembang bila menonton TV susah pula nak dikawal ketika menonton TV bersama kawan-kawan (terperasan juga yang mereka hanya diam ketika menonton). Bukan apa, abah hanya suka mengulas apa yang baik dan tidak boleh diikuti sahaja.

Teringat lagi bila abah berfalsafah, "hidup ini ibarat sungai dan manusia ibarat ranting kayu yang dibawa arus sungai. Kita sudah pasti ke mana akan dibawa arus. Ya. Ke muara. Dalam perjalanan ke sana, kita mungkin akan tersangkut di mana-mana rumput di tebing sungai. Kemudian setelah beberapa ketika, perjalanan ranting tadi tetap akan diteruskan ke muara. Hanya sebentar cuma. Menyapa si rumput. Maksudnya, manusia ada hala tujunya dalam hidup iaitu akhirat, dunia abadi. Dalam menuju ke sana, kita akan menemui banyak ujian, keadaan dan suasana mahupun dengan sesiapa sahaja dalam hidup kita sekarang. Tak perlu rasa sedih dan kecewa atau terlalu teruja. Kerana pertemuan dengan manusia lainnya hanya sebentar. Kerana ujian yang menimpa tidak kekal..

Aku angguk faham.

Satu hari, aku bertekad mahu menunjukkan sayang aku kepada abah. Kerana mengikut kajian, orang Malaysia susah sangat menunjukkan sayangnya kepada orang lain. Tapi aku mahu buktikan aku boleh mengubahnya.

Tekadku, aku mahu cium pipi abah.

Satu hari sebelum aku berangkat pergi ke uia..

Segala beg sudah siap sedia. Semuanya sudah.
Tinggal nak salam abah je.

Semangat yang membara aku kumpul.
Malu sebenarnya.

Tekad aku bulat.

"Tok. Tok", pintu bilik abah ku ketuk.

BIla cium tangan abah..
aku terus cium pipi abah.

Huish! Malu. Usah cerita. Panas seluruh muka. Telinga pun sama.
"Tajamnya janggut abah..", kataku untuk hilangkan malu.

Lepas salam sahaja. Terusku berlari ambil beg dan keluar rumah. Almaklumlah malu. Tapi sekarang tidak lagi.

*********************************

Kesimpulannya, biar kita mahu buat sesuatu yang mungkin kita fikir malu dan sebagainya. Tapi ingatlah, sebagai anak, kita mahu biarkan mereka menangis kerana kegembiraan bukan menangis kerana kekecewaan. Tapi sangat menyedihkan zaman sekarang. Tidak kira ayah mahupun ibu. Bila sahaja anak-anak ditegur tentang kesalahan mereka, terus sahaja digertak, ditumbuk, dibelasah dan sebagainya..sangat menyedihkan.

4 comments:

  1. salam,
    wahh..panjang post akak kalini..
    sronok bace..

    hee..akak cite pasal abah akak, teringat kat abah..

    rindunye..

    ReplyDelete
  2. wsalam
    sekadar berkongsi
    agar bermanfaat
    tak banyak
    sedikit

    setiap daripada kita bermula daripada kosong..dan ibu bapalah yang mencorakkan kita menjadi seseorang..

    ReplyDelete
  3. sgt bermanfaat tuk dibace..
    betul2..tanpa ibu bapa sapelah kite..

    ReplyDelete